Wednesday 25 July 2012

Rentetan Aktiviti JKM POLISAS dari MAC - JUN 2012


Girl Outing
Dewasa ini kita sering dikejutkan dengan pelbagai gejala sosial yang melibatkan batas pergaulan di antara lelaki dan wanita. Masalah ini timbul disebabkan oleh kekurangan jati diri yang utuh dari segi perkembangan emosi dan didikan agama sejak dari kecil. Oleh yang demikian, demi memikul rasa tanggungjawab pada 8 Mac 2012, Kelab Mechy dan Portfolio Psikologi dan Kerjaya Jabatan Kejuruteraan Mekanikal telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program “Girl Outing” untuk pelajar wanita JKM. Program ini telah diadakan di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan. Objektif program ini adalah melahirkan siswi mempunyai maruah diri yang teguh, melahirkan siswi yang cemerlang sahsiah dan akademik, melahirkan siswi yang cekal dan berdikari, untuk memupuk semangat kerjasama, untuk memupuk semangat kerjasama diantara senior dan junior dan melatih pelajar untuk menghadapi segala cabaran dan mengatasi stress. Semua 80 pelajar perempuan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan 21 orang Pensyarah (Fasilitator) terlibat dalam program ini. Pengisian program ini merangkumi aktiviti di dalam kumpulan berbentuk sukaneka, tazkirah dan solat, senamrobik dan pembahagian kumpulan serta koloborasi bersama MPK Kuantan iaitu gotong rotong membersihkan pantai Teluk Chempedak.

Pembentangan Projek Semester Akhir pelajar DKM, DAD dan SKM bagi sesi Disember 2012
Pada 5 April 2012, telah diadakan Pembentangan Projek Semester Akhir pelajar DKM, DAD dan SKM bagi sesi Disember 2012. Pembentangan telah diadakan di Dewan Seri Makmur, POLISAS bermula jam 9.00 hingga 12.00 tengahari. Seramai lebih kurang 100 orang pelajar dan semua pensyarah terlibat pada hari berkenaan. Projek pelajar akhir telah dipertandingkan bagi memilih 3 projek terbaik semester ini. Panel dilantik untuk menjadi penilai projek terdiri daripada Ketua Jabatan, Pensyarah Kanan dan Ketua Program Jabatan Kejuruteraan Mekanikal. Projek terbaik telah diberikan hadiah penghargaan pada Malam Karnival JKM.


Lawatan sambil belajar ke UiTM Shah Alam, Selangor
Pada 9 April 2012 yang lalu, 35 orang pelajar semester akhir telah mengikuti Lawatan sambil belajar ke UiTM Shah Alam, Selangor dirangka bagi memenuhi keperluan KPI Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, POLISAS. Lawatan ini diadakan untuk pelajar semester akhir JKM bagi mendedahkan suasana dan persekitaran universiti. Ia diharapkan dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Di akhir program ini, peserta telah menjalinkan tanggungjawab sosial dengan melawat pusat pengajian tinggi yang dapat meluaskan pengalaman di luar kuliah  (LD 5) dan  mengamalkan semangat bekerja dalam pasukan untuk menjayakann lawatan sambil belajar  (LD 9). Penganjur lawatan ini adalah Jawatankuasa Buletin dan Lawatan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal. Seramai 5 orang pensyarah menjadi pengiring lawatan iaitu Azli Bin Omar, Syed Mohadzam Shah Syed Badiuzaman, Ilyas Ishak, Ahmad Zaifazlin Bin Zainordin dan Mohd Azizi Omar. Antara tempat yang dilawati adalah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Makmal Termodinamik,  Bengkel Foundri,  Makmal Teknologi Bahan,  Makmal Automotif,  Makmal Radioaktif,  Makmal Robotik dan  Makmal CNC.

Majlis Malam Anugerah Pelajar Jkm Dan Malam Pra Graduan Mekanikal
Pada 13 April 2012, bermula jam 8.00 hingga 10.00 malam telah diadakan Majlis Malam Anugerah Pelajar Jkm Dan Malam Pra Graduan Mekanikal. Majlis ini diadakan bagi meraikan beberapa acara terdahulu di sepanjang Karnival Mekanikal yang terlangsung.  Majlis ini telah melibatkan semua pensyarah dan semua pelajar JKM. Ia telah dianjurkan oleh Kelab Mechy diketuai oleh En Azli Kasan dan AJK di kalangan ahli Kelab Mechy. Acara yang diraikan pada malam tersebut adalah Malam Pra Graduan iaitu Jamuan Pelajar Semester Akhir, Anugerah Projek Akhir Terbaik, Anugerah ketua jabatan, Anugerah Kepimpinan dan Kecemerlangan Tokoh Pelajar serta Persembahan Terbaik Malam Marnival. Pada malam itu juga, telah diadakan cabutan terbuah dan Pertandingan Best Dress pelajar dan pensyarah. Ketua Jabatan, YM Tg Besaruddin Shah Tg Yaakob telah merasmikan majlis ini serta menyampaikan anugerah-anugerah seperti dinyatakan. Pensyarah dan pelajar telah diraikan dengan hidangan makan malam beserta pencuci mulut.

Perhimpunan Pelajar JKM
Perhimpunan Pelajar JKM telah diadakan pada 18 April 2012 yang lalu. Program telah bermula pada jam 10.00 pagi – 11.30 pagi di Bangunan PH JKM. Tujuan utama perhimpunan ini adalah untuk saling bertemu di antara pensyarah dengan pelajar JKM. Tentatif program ini adalah Ucapan KJKM, Slot Peperiksaan Oleh En Rospi Mat Husin, Slot Disiplin Oleh En Azman Che Razak, Slot Kaunseling Oleh Pegawai Psikologi Dan Kerjaya Pn Sarina Sabran  (diwakili oleh En Hafizzi ) dan Slot Pegawai Peperiksaan Polisas Oleh En Ahmad Tajudin Mustafa (Taklimat Sem Akhir). Perhimpunan ini adalah kemuncak aktiviti Team Mentor Mentee JKM iaitu Klinik Mentor Mentee yang diadakan pada minggu berkenaan.


Team Mentor Mentee JKM
Pada 18,19 dan 20 April 2012 yang lalu, Team Mentor Mentee JKM telah bekerjasama dengan Portfolio Psikologi dan Kerjaya dan Portfolio Peperiksaan JKM telah menganjurkan Klinik Mentor Mentee. Bagi mengurangkan peratus kegagalan pelajar mengulang kursus pada semester ini, pasukan Mentor Mentee yang prihatin akan cuba untuk membuka Klinik Latih Tubi sepanjang minggu ‘Study Week’ pelajar. Kelas di bangunan akademik pelajar akan dijadikan pusat latih tubi mengikut jadual dan kursus yang akan ditetapkan oleh Unit Peperiksaan. Pendekatan klinik ini adalah diharap dapat mengeratkan hubungan di antara pelajar bijak dengan pelajar yang lemah. Melalui latih tuli ini, kaedah pendekatan latihan bersama pelajar yang bijak diharapkan akan meningkatkan motivasi pelajar agar lebih bersedia menghadapi peperiksaan. Manakala pensyarah sebagai mentor akan menguruskan setiap kelas latih tubi seperti melatih mentee, menyediakan set soalan terdahulu serta mengambil kehadiran pelajar yang hadir. Objektif program ini adalah untuk membantu pelajar yang mengulang modul membuat persediaan menghadapi peperiksaan berbentuk latih tubi, meningkatkan keyakinan diri pelajar agar lebih bersedia menghadapi peperiksaan dan mengamalkan konsep ‘We Care’ di antara mentor mentee dengan pelajar mengulang modul. Seramai 200 orang pelajar (Carry Module), 40 orang pelajar (Mentee) dan 13 orang Pensyarah JKM dan JMSK (Mentor) terlibat bagi menjayakan program ini.

disediakan oleh,
Portfolio Buletin, Lawatan dan Pameran JKM